
Kuala Lumpur, 2 May 2026 – PMB Investment Berhad ("PMB Investment"), anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, telah melancarkan PMB Shariah Fixed Price Income Wholesale Fund, satu penyelesaian pendapatan tetap patuh Syariah yang direka secara eksklusif untuk pelabur sofistikated.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Zulfikri Osman sempena sambutan Hari MARA ke-60 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Hadir sama, Pengerusi Pelaburan MARA Berhad, Dato' Mohamad Razali Mohamad Rahim; Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Mahdzir Othman; dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin, CFA.
Dana ini direka bertujuan untuk memberikan pendapatan yang stabil dan berkala, berusaha mengekalkan kecairan, serta memelihara modal melalui portfolio aset patuh Syariah yang pelbagai. Ini termasuk instrumen pendapatan tetap patuh Syariah ekuiti patuh Syariah, skim pelaburan kolektif patuh Syariah serta deposit patuh Syariah.
Mengulas mengenai pelancaran ini, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, "Dana ini mencerminkan respons strategik kami terhadap permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian pendapatan patuh Syariah. Kami percaya dana ini berpotensi menyokong pemeliharaan modal dan penjanaan pendapatan yang mampan dalam persekitaran pasaran yang semakin tidak menentu."
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin, CFA menambah, "PMB Investment memberi tumpuan kepada membentuk fasa seterusnya dalam penciptaan nilai. Ini termasuk pengembangan ke dalam kelas aset berorientasikan masa hadapan seperti kredit karbon, sambil terus menyediakan penyelesaian pendapatan yang stabil dan patuh Syariah untuk pelabur institusi. Peranan kami melangkaui pengurusan dana, kami sedang membina ekosistem bersepadu yang menghubungkan modal, kelestarian dan tadbir urus Syariah."
Pelancaran ini seiring dengan forum bertajuk "Menerajui Sempadan Baharu: Pelaburan Syariah dalam Dunia Lestari", yang dianjurkan oleh PMB Investment dengan kerjasama PMB Sustainable Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad. Forum ini menghimpunkan pemain industri dalam ekosistem kewangan Islam bagi membincangkan evolusi strategi pelaburan melepasi pemeliharaan modal tradisional ke arah kelas aset yang mampan dan alternatif, termasuk pasaran karbon.
Majlis ini turut menampilkan pertukaran kerjasama strategik antara PMB Investment dan Wassiyyah Shoppe Sdn Bhd. Sementara itu, PMB Sustainable yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmi Haji Mohamed, memeterai kerjasama dengan ISRA Consulting Sdn Bhd dan Asia Gas Hub Sdn Bhd, bertujuan memperkenalkan rangka kredit karbon diperakui patuh Syariah pertama di dunia, bagi menyediakan pengesahan Syariah dan etika yang diperlukan untuk penyertaan dalam pasaran yang sedang berkembang ini.
Kerjasama-kerjasama ini dijangka memperkukuh sokongan ekosistem merentas penyelesaian pelaburan dan pembangunan pasaran karbon, selaras dengan objektif kelestarian dan ekonomi yang lebih luas.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dana termasuk fi dan risiko, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.
Untuk PMB Sustainable, layari www.pmbsustainable.com.my.
- T A M A T –
Mengenai PMB Investment:
PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC).
Ia menguruskan 18 dana unit amanah, 2 dana borong dan portfolio pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.
Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.
Mengenai PMB Sustainable Sdn Bhd
PMB Sustainable Sdn Bhd (PMB Sustainable) merupakan anak Syarikat Kumpulan Pelaburan MARA dan merupakan syarikat penasihat ESG dan kelestarian yang menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam pembangunan projek karbon, pelaporan alam sekitar, dan kecerdasan data satelit. PMB Sustainable membantu syarikat korporat, entiti berkaitan kerajaan (GLC), serta pemilik aset dalam mencapai hasil ESG boleh ukur.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my