KUALA LUMPUR, 09 Januari 2026 – PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) berlesen di bawah Pelaburan MARA Berhad dengan sukacitanya mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham MARA dan PMB Amanah Saham MARA Wholesale Sukuk Fund untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Amanah Saham MARA, yang dahulunya dikenali sebagai PMB Shariah Tactical Fund, mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.00 sen seunit, berjumlah keseluruhan RM1.57 juta. Agihan ini melebihi angka tahun lepas iaitu, 3.26 sen seunit. Nilai Aset Bersih (NAB) seunit akan diselaraskan daripada RM0.6755 kepada RM0.6355. Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 5.73% berdasarkan NAB penutup seunit pada 31 Disember 2025.
Mengulas tentang prestasi dana Amanah Saham MARA, Hang Tuah Amin Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment berkata, "Kepercayaan para pelabur adalah pendorong kami, peningkatan pengagihan kepada 4.00 sen seunit bagi tahun ini menunjukkan komitmen kami terhadap penghasilan nilai yang bermakna. Walaupun pasaran tidak menentu, pendekatan berdisiplin kami berjaya mencapai hasil kompetitif 5.73% dan pulangan kumulatif 61.70% untuk tiga tahun, sambil kekal mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya.”
Sementara itu, PMB Amanah Saham MARA Wholesale Sukuk Fund, yang dahulunya dikenali sebagai PMB Wholesale Sukuk Fund, mencatatkan agihan pendapatan sebanyak 5.96 sen seunit, berjumlah keseluruhan RM1.08 juta. Jumlah ini juga melebihi angka tahun lepas iaitu, 4.67 sen seunit. NAB sebelum pengagihan adalah RM1.1617 seunit, dan diselaraskan kepada RM1.1021 selepas pengagihan, mewakili hasil sebanyak 5.40% bagi tahun kewangan tersebut.
Hang Tuah menyatakan, "PMB Amanah Saham MARA Wholesale Sukuk Fund menunjukkan prestasi konsisten dengan hasil 5.40% dan pulangan kumulatif 14.43% dalam tempoh tiga tahun sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pendapatan tetap kami. Pengurus dana kami komited mencari pelaburan sukuk berkualiti yang menawarkan pulangan terbaik kepada pelabur tanpa mengira keadaan pasaran.” PMB Amanah Saham MARA Wholesale Sukuk Fund merupakan dana sukuk pertama PMB Investment dan telah dilancarkan sempena Sambutan Hari MARA ke-49 pada tahun 2015.
Kedua-dua pengagihan telah dikreditkan pada 31 Disember 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 2 Januari 2026.
Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my, dan dana boleh dipindahkan melalui FPX.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dana termasuk fi dan risiko, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.
– T A M A T –
Info Korporat:
PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC).
Ia menguruskan 18 dana unit amanah, termasuk 1 dana borong dan 10 mandat persendirian pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.
Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my