KUALA LUMPUR, 18 September 2025 - PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (Islamic Fund Management Company – IFMC) di bawah Pelaburan MARA Berhad, hari ini mengumumkan pelantikan En. Hang Tuah Amin Tajudin, CFA sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu.
En. Hang Tuah telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Dilantik) pada 1 Ogos 2025 dan secara rasmi memegang jawatan tersebut pada 7 September 2025 selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa. Pelantikan ini merupakan satu pencapaian penting bagi PMB Investment dalam memacu aspirasi untuk menjadi jenama terkemuka dan dipercayai dalam pengurusan aset patuh Syariah.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun merentasi bidang pengurusan aset, perbendaharaan Islam dan konvensional, pendapatan tetap, serta pasaran modal, En. Hang Tuah membawa rekod pencapaian yang terbukti dalam kepimpinan dan inovasi. Beliau pernah memegang jawatan di Bank Negara Malaysia, Public Mutual Berhad, OCBC Al-Amin Bank Berhad dan Cagamas Berhad sebelum menyertai PMB Investment pada tahun 2023.
Seorang profesional berwibawa, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, United Kingdom, serta menamatkan pengajian A-Levels di Oundle School, United Kingdom. Beliau adalah pemegang Chartered Financial Analyst (CFA), pemegang Diploma CIMA dalam Kewangan Islam, serta berlesen sebagai Wakil Perkhidmatan dan Pasaran Modal.
Sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, En. Hang Tuah merupakan Ketua Pegawai Pelaburan di PMB Investment, di mana beliau menerajui strategi pelaburan, pengurusan portfolio dan pembangunan produk, sekali gus menyampaikan prestasi patuh Syariah yang konsisten dan mengukuhkan kedudukan pasaran syarikat.
“Kami yakin dengan kewibawaan, kepimpinan berwawasan dan komitmen teguh En. Hang Tuah terhadap inovasi akan membuka lembaran baharu yang lebih gemilang untuk PMB Investment. Pelantikan ini mencerminkan dedikasi kami dalam membina sebuah institusi pengurusan dana yang mampu menawarkan penyelesaian kewangan patuh Syariah bertaraf dunia serta nilai jangka panjang yang mampan kepada para pemegang kepentingan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, En. Mahdzir Othman.
Pelantikan ini mengukuhkan lagi komitmen PMB Investment terhadap kecemerlangan, inovasi dan penyampaian penyelesaian kewangan patuh Syariah bertaraf dunia kepada para pelanggan.
– TAMAT –
Info Korporat:
PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC).
Ia menguruskan 18 dana unit amanah, termasuk 1 dana borong dan 10 mandat persendirian pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.
Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my