PMB INVESTMENT ISYTIHAR AGIHAN PENDAPATAN DUA DANA, BERJUMLAH RM4.43 JUTA


Kuala Lumpur, 18 Ogos 2025 – PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) berlesen di bawah Pelaburan MARA Berhad, hari ini mengumumkan agihan pendapatan bagi bagi PMB Shariah Aggressive Fund dan PMB Shariah Small-Cap Fund bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025.

PMB Shariah Aggressive Fund telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 2.00 sen seunit, dengan jumlah agihan berjumlah keseluruhan sebanyak RM4,208,456.62. Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan ialah RM0.4527 yang diselaraskan kepada RM0.4327 selepas agihan. Berdasarkan tarikh ex-date pada 31 Julai 2025, agihan ini mewakili hasil sebanyak 4.08% berdasarkan NAB penutupan dana, menunjukkan komitmen dana ini dalam memberikan pulangan pendapatan yang konsisten kepada pemegang unit.

PMB Shariah Small-Cap Fund pula mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 1.00 sen seunit, dengan jumlah agihan berjumlah keseluruhan sebanyak RM221,881.93. NAB dana ini ialah RM0.5736 seunit sebelum agihan dan diselaraskan kepada RM0.5636 selepas agihan. Berdasarkan tarikh ex-date pada 31 Julai 2025, agihan ini mewakili hasil sebanyak 1.65% berasaskan NAB penutupan dana, mencerminkan keupayaan dana untuk menjana pendapatan secara berterusan dalam segmen syarikat modal kecil.

Mengulas prestasi dana ini, En Hang Tuah Amin Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif (Dilantik) PMB Investment berkata, “Agihan ini mencerminkan pendekatan pelaburan berdisiplin kami dan prestasi dana yang kukuh. PMB Shariah Aggressive Fund telah mencatatkan pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 19.34%, atau purata 6.45% setahun sehingga 31 Julai 2025, di samping hasil 4.08% pada hari ini. PMB Shariah Small-Cap Fund pula mencapai pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 50.77% (purata 16.92% setahun) dengan hasil 1.65%. Kami kekal optimis terhadap peluang pelaburan patuh Syariah serta keupayaan penyelidikan kami untuk memberikan nilai berterusan kepada pemegang unit”.

Dilancarkan pada tahun 1972, PMB Shariah Aggressive Fund merupakan dana keenam PMB Investment, manakala PMB Shariah Small-Cap Fund dilancarkan pada 16 Mei 2016. Kebiasaannya, dana ini memperuntukkan antara 80% hingga 99.5% (Aggressive Fund), dan 70% hingga 95% (Small-Cap Fund) daripada NAB masing-masing ke dalam ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh Syariah. Baki dana dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, penempatan deposit Islam, sukuk, serta pelaburan lain yang dibenarkan patuh Syariah.

Peruntukan ekuiti dikaji semula secara aktif berdasarkan keadaan ekonomi dan pasaran global, serantau, dan domestik. Ini termasuk penilaian menyeluruh terhadap perkembangan politik, ekonomi, dan perniagaan sebelum sebarang keputusan pelaburan dibuat.

Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, menambah, "Agihan konsisten ini mencerminkan pengalaman dan kesungguhan pengurus dana kami serta kejayaan penggunaan Platform Penyelidikan Nasdaq Dorsey Wright (NDW) dalam mengenal pasti pelaburan patuh Syariah berkualiti tinggi. Dengan menggabungkan pendekatan asas yang kukuh dan pandangan berpandukan teknologi, dana kami terus memberikan nilai yang baik kepada pemegang unit sambil mengekalkan piawaian tertinggi dalam pelaburan Islam. Lembaga Pengarah kekal yakin bahawa keupayaan penyelidikan kami akan terus memacu prestasi mampan bagi keseluruhan portfolio dana kami”.

Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my, dan dana boleh dipindahkan melalui FPX.

Untuk maklumat lanjut mengenai dana PMB Investment, fi, dan risiko berkaitan, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.
-TAMAT –
 
Info Korporat:
PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC).
Ia menguruskan 18 dana unit amanah, termasuk 1 dana borong dan 10 mandat persendirian pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.
Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad

Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur

T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my

Menu